Ketika membeli setem bernilai RM0.30 sen di pejabat pos pagi tadi saya cukup tertarik dengan gambar ‘Fighter Spider’ dari spesies Thiania bhamoensis itu. Semasa saya kecil-kecil dahulu inilah ‘spedo’ yang sering kami cari, terutama musim cuti sekolah seperti sekarang. ‘Spider’ ini selalunya bersarang di daun palas atau pun di rimbunan daun pandan. Sarangnya dibina dari daun-daun yang digam kejap dengan benang halus dari perutnya. Hanya ‘spider’ jantan sahaja yang ditangkap. Tidak sukar untuk membezakan antara ‘spider’ jantan dengan ‘spider’ betina. Spider jantan di kepalanya ada tompok putih, spider betina macam gambar dalam setem itulah, kepalanya berwarna hitam. Ia kemudian disimpan dalam kotak mancis yang sudah dialas daun.
‘Spider’ ini kemudian akan dilagakan. ‘Spider’ jantan yang lebih panjang jangkirnya selalunya lebih kuat. ‘Spider’ jantan yang ditangkap bersama pasangannya pula dianggap lebih degil dan sukar menyerah kalah. Sekurang-kurangnya seekor spider boleh bertahan ‘berlaga’ sehingga lima kali atau enam kali. Setiap kali kalah ia akan dibebaskan semula. Setiap hari akan ada juara ‘spedo’ yang ditabalkan. Itu pun tidak akan bertahan lama. Esok akan ada lagi pencabar baru. Tiada pertaruhan seperti laga spider di Filipina. Ia adalah keseronokan budak-budak dahulu. Kini bukan sahaja permainan itu tidak lagi dikenali, mungkin juga ramai yang tidak tahu tentang kewujudannya.

